PERKARA-PERKARA YANG SUNAT DILAKUKAN PADA HARI JUMAAT

Salam Jumaat dan hai. Hari yang paling hebat dalam seminggu ialah hari Jumaat sehingga Allah turunkan satu surah lengkap yang dinamakan Surah Al-Jumu’ah. Kehebatan hari Jumaat dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam sepotong hadis yang bermaksud

” Sebaik-baik hari ialah Jumaat. Padanya diciptakan Nabi Adam dan dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari Jumaat. Tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat”

Riwayat Muslim dan Ahmad

amalan sunat hari jumaat

Kerana itu, Rasulullah menganjurkan beberapa amalan yang boleh diamalkan pada hari Jumaat oleh setiap muslim bagi menghayati kelebihan penghulu segala hari. Antaranya;

1 . Membaca surah Al-Sajdah dan al-Insan ketika solat subuh

Abu Hurairah menceritakan

” Rasulullah S.A.W selalu membaca surah Al-Sajdah dan Al-Insan ketika solat subuh pada hari Jumaat

Riwayat Al-Bukhari

Dijelaskan dalam Fath al-Bari antara hikmah membaca kedua-dua surah ini adalah kerana isi kandungannya berkaitan kejadian manusia dan keadaan pada hari Jumaat. Jadi, ini bertepatan dengan hari Jumaat yang dijanjikan oleh Rasullullah S.A.W bahawa kiamat tidak akan berlaku selain hari tersebut

2. Membaca surah al-Kahfi

Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W maksudnya ” Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka Allah akan memberi cahaya kepadanya di antara kedua-dua Jumaat”

Riwayat AL-Hakim dan Al-Baihaqi

Adalah disunatkan untuk membaca surah ini sama ada pada malam Jumaat atau waktu siang pada hari Jumaat. Juga kita dinasihatkan untuk meneliti satu persatu makna ayat terutama tiga kisah menarik dan penuh iktibar iaitu kisah pemuda al-Kahfi, Nabi Musa berguru dengan Nabi Khidir dan pemerintah hebat bernama Zulqarnain yang sangat takut kepada Allah dalam kepimpinannya

3. Mandi sunat hari Jumaat

Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya ” Apabila seseorang hendak pergi menunaikan solat Jumaat, maka hendaklah dia mandi”

Riwayat Al-Bukhari

Para ulama menjeaskan bahawa mandi disunatkan kepada seseorang yang ingin menunaikan Solat Jumaat. Hikmahnya amalan ini adalah bagi mengelakkan bau-bauan yang tidak menyenangkan kepada jemaah lain ketika berhimpun

4. Hadir awal ke masjid

Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasullullah S.A.W menyatakan 5 golongan yang hadir ke masjid berdasarkan waktu kehadiran masing-masing;

a) Orang yang mandi seperti mandi Junub pada hari Jumaat lantas hadir ke masjid, seolah-olah dia telah melakukan ibadat korban seekor unta

b) Orang yang pergi ke masjid pada’ saat ‘ kedua, pahalanya seumpama melakukan korban seekor lembu

c) Orang yang hadir pada ‘saat’ ketiga, pahalanya seumpama melakukan korban seekor kambing bertanduk

d) Orang yang hadir ke masjid pada ‘saat’ keempat, pahalanya seumpama koban seekor ayam

e) Orang yang hadir pada ‘saat’ kelima, pahalanya seperti korban sebiji telur

Dalam riwayat Imam Al-Zuhri, baginda bersabda, mafhumnya ” Apabila imam memulakan Khutbah, para malaikat yang mencatat kehadiran para jemaah di setiap pintu akan masuk ke dalam masjid untuk mendengar khutbah”

5. Diharamkan urusan jual beli

Allah berfriman yang bermaksud

“Wahai orang beriman, apabila diseru azan untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka segeralah (ke masjid) untuk mengingati Allah dengan melaksanakan solat Jumaat dan tinggalkan urusan jual beli (pada saat itu). Demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui hakikat sebenarnya”

Surah Al-Jumu’ah 62:9

Berdasarkan ayat di atas, haram melakukan jual beli apabila azan berkumandang dan khatib memulakan kutbah

6. Amalan sunah lain

Rasulullah S.AW juga menggalakkan umat Islam agar membersihkan diri pada hari Jumaat dengan mencabut bulu-bulu di badan, memotong kuku, bersugi, mengemaskan misai, meminyaki rambut memakai wangian dan berpakaian terbaik

Umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad yang telah berjuang dan berkorban menyampaikan ajaran Islam

Rujukan : Majalah Solusi isu 52

Aryn Fadz Lee l 016-587 9882

4 thoughts on “PERKARA-PERKARA YANG SUNAT DILAKUKAN PADA HARI JUMAAT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge