Archive | June 15, 2015

LANGKAH BERJAGA-JAGA BERDEPAN DENGAN GEGARAN GEMPA BUMI

Salam dan hai semua. Kelmarin pagi sekitar jam 2.30 pagi kami dikejutkan dengan gegaran sederhana berskala 5.1. Gegaran ini lebih kuat dirasai di Ranau Sabah. Kami di kawasan Pantai Barat Selatan ini juga merasai gegaran selama 6-10 saat itu kerana berada tidak jauh dari kawasan gegaran tersebut

Mural yang dilukis sebagai memperingati wira dan mangsa-mangsa yang terkorban semasa gegaran

Mural yang dilukis sebagai memperingati wira dan mangsa-mangsa yang terkorban semasa gegaran

Kejadian gegaran ini bermula pada Jumaat lepas, 5hb Jun 2015 jam 7.15 pagi. Gegaran awal pada skala 5.9, memang agak kuat dan sangat dirasai oleh penduduk di Ranau. Saya yang ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, terkejut melihat ratusan Whatsapp dari keluarga dan kawan-kawan sebaik membuka Handphone

Saya terus menghubungi suami dan suami memaklumkan bahawa beliau merasai gegaran yang agak kuat sehinggakan kereta kami turut bergegar dan bergerak. Beliau yang terkejut dengan gegaran itu segera mengambil anak-anak kami dan membawa anak-anak keluar daripada rumah

Jika dilihat pada geografi negeri ini, Sabah tidak termasuk di dalam lingkaran gunung berapi akan tetapi berada di atas garisan sesar yang masih aktif. Menurut Professor Felix Tongkul, Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah, gegaran lemah mungkin akan berlaku tapi tidak akan berterusan.

Namun, pagi 13hb lepas kami dikejutkan lagi dengan gegaran yang dikira sederhana. Dijangkakan akan ada lagi gegaran-gegaran kecil selepas ini

Antara langkah berjaga-jaga yang boleh kita ambil apabila berhadapan dengan situasi begini adalah;

1) Semasa Gempa bumi

Jika berada di dalam bangunan

  • Terus kekal di dalam bangunan. Berlindung di bawah meja yang kukuh atau tempatkan diri di ambang pintu atau sudut
  • Jauhkan diri dari tingkap, rak buku, kabinet, cermin, pasu bunga bergantungan dan objek berat yang boleh menggelongsor atau terjatuh
  • Lindungi kepala dan muka dari serpihan runtuhan dan kaca
  • Jangan menggunakan lilin, mancis atau barangan bahan punca api yang lain kerana berkemungkinan kebocoran gas akan berlaku. Padamkan semua sumber api

Jika anda berada di dalam bangunan yang tinggi;

  • Jangan keluar secara tergesa-gesa
  • Jangan gunakan lif kerana kemungkinan bekalan elektrik akan terputus
  • Terus kekal  berada di dalam bangunan di tingkat yang sama

Jika anda berada di luar bangunan;

  • Bergerak ke kawasan terbuka. Jauhi diri daripada talian kuasa, tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu
  • Jauhkan diri daripada serpihan yang jatuh di luar pintu dan di dinding sebelah luar
  • Jauhkan diri daripada talian elektrik yang jatuh
  • Terus kekal berada di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti

Jika anda berada di laluan pejalan kaki berhampiran bangunan;

  • Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri dari serpihan batu-bata, simen dan kaca yang jatuh

Jika anda berada di dalam pasaraya yang sesak;

  • Jangan bergerak keluar ke muka pintu secara tergesa-gesa
  • Jauhkan diri daripada rak-rak yang mengandungi objek-objek yang berkemungkinan akan terjatuh

Jika anda di dalam kereta yang bergerak;

  • Berhentikan kereta dengan segera di kawasan yang dirasakan selamat. Jangan berhenti di atas atau bawah jambatan, lingkaran atau rentangan kabel-kabel elektrik
  • Terus kekal berada di dalam kereta hingga gegaran berhenti

Buat wira-wira kami, Malim Gunung Kinabalu, terima kasih kerana berusaha menyelamat dan membawa turun mangsa-mangsa yang berada di atas Gunung Kinabalu. Bagi mangsa-mangsa yang terkorban, moga aman di sana

Alhamdulillah.. Ujian ini terus menyatukan rakyat Sabah. Moga Sabah terus akan bertahan. Doakan untuk kami ya 🙂

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/berhadapan-gempa-langkah-ini-mungkin-penyelamat-anda-61689?cp

Share